5 Drama TV Terbaik untuk Tontonan (Malaysia)

1. NUR KASIH



Drama ni kira drama yang mencetuskan fenomena. Bukan saja jalan cerita malah aspek lain seperti lagu tema, latar bunyi dan sinematografi drama turut diberi perhatian sama rata. Lakonan setiap pelakon begitu cemerlang.

Nur Amina (Tiz Zaqyah) mendapat tawaran untuk menyambung pengajian namun pinangan dari keluarga Adam (Remy Ishak) menyentap perasaan apabila ibu bapa Nur Amina bertegas untuk mereka disatukan. Aidil (Fizz Fairuz), abang kepada Adam sudah lama menyimpan rasa buat Nur Amina tapi terpaksa berkorban hati kerana penyatuan Adam-Nur Amina adalah permintaan ayahnya. Adam pula sudah mempunyai kekasih namun memaksa diri menerima Nur Amina atas permintaan ayahnya.

2. 7 HARI MENCINTAIKU



Diadaptasi dari novel namun agak berbeza dari ledakan kisah kahwin paksa yang ditayang sebelumnya. Siti Rosmizah dalam karyanya berjaya mencipta satu watak lelaki seumpama malaikat. Watak suami yang diidamkan wanita. Kesabaran dan cinta Khuzairi (Shukri Yahaya) pada Mia Adriana (Siti Saleha) begitu tinggi hingga dia sanggup menerima wanita itu apa adanya.

Mia adalah seorang peguam dari keluarga berada namun berdepan dugaan bila tunangnya tidak muncul di majlis akad nikah mereka. Demi menjaga maruah keluarga, ayah Mia meminta Khuzairi menjadi suami Mia. Khuzairi menerima dengan hati terbuka namun Mia menerima dalam paksa.


3. PATAHNYA SEBELAH SAYAP



Diinspirasikan dari drama Korea berjudul Secret, drama ini mengisahkan Alisha (Ummi Nazeera) yang banyak berkorban demi membantu kekasihnya, Amzar (Izzue Islam) hingga lelaki itu menjadi peguam. Khuzairi (Aeril Zafrel) pula baru saja melangsungkan perkahwinan dan bakal berbulan madu. Satu tragedi berlaku yang meragut nyawa isteri Khuzairi dan mengubah kehidupan ketiga-tiga mereka.


4. NUR



Satu lagi fenomena. Nur dikisahkan dengan latar belakang watak utamanya, Nur (Amyra Rosli) yang merupakan pelacur atau wanita lorong. Namun, Nur benci dengan kehidupannya dan ingin mencari jalan keluar. Adam (Shafiq Kyle) merupakan anak seorang penceramah agama terkenal, baru saja pulang dari pengajiannya di luar negara. Pertemuan singkat mereka di masjid membuatkan Adam penasaran kerana Nur melarikan diri daripadanya selepas pertemuan itu. Adam berusaha mencari Nur tanpa mengetahui yang Nur adalah seorang pelacur.

Drama ini menonjolkan konflik apabila Adam, seorang lulusan agama selain anak agamawan jatuh cinta pada Nur, seorang wanita lorong yang juga anak kepada pelacur. Topik sebegini jarang dipersembahkan mungkin kerana ia satu topik sensitif selain perlu dikaji untuk lebih realistik.

5. ANDAINYA TAKDIR



Didasarkan pada sebuah kisar benar, drama ini berkisar tentang Airil (Shukri Yahaya) yang panas baran dan suka mengongkong isterinya, Fatiha (Nina Iskandar). Fatiha seringkali menjadi mangsa pukulan suaminya bila lelaki itu cemburu. Walaupun hanya sekadar bercakap sepotong ayat dengan lelaki, Fatiha akan menerima padah. Perhubungan toksik seperti ini banyak berlaku tapi sering didiamkan oleh kebanyakan wanita.

Andainya Takdir disambung musim kedua tapi saya lebih suka penamat musim pertama. Musim kedua agak meleret dan jadi drama cliche perebutan lelaki untuk cinta seorang wanita.


Sebelum Malaysia dilanda demam adaptasi novel, ada banyak naskah drama yang baik pernah terhasil zaman 90-an dulu tapi banyak yang dah tak ingat tajuk. Ada drama pasal budak cacat yang jalan dengan tangan tu, ada sesapa ingat tak tajuk dia? Lagu tema dia Namun Ku Punya Hati. Teringin nak tengok balik. Sekarang ni TV9 dok ulang drama lama, so harapnya sampailah turn drama tu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jemput Sembang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...